JPJ SPRM perkasarkan integriti dalam tugasan rutin

Azam (kiri) menyampaikan sebuah buku kepada Zailani ketika lawatan rasmi Zailani ke atas Azam semalam

KUCHING, 29 Dis: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) komited dalam memperkasakan aspek integriti serta tadbir urus yang telus di dalam pelaksanaan tugasan rutin melalui hubungan kerja strategik di antara kedua-dua Jabatan.

Dalam sesi lawatan kunjungan hormat oleh Ketua Pengarah JPJ ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya SPRM semalam, satu kerangka kerja dan kolaborasi rapat telah diwujudkan ke arah menyuburkan budaya kerja berintegriti tinggi di seluruh Pejabat JPJ.

Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim dalam kenyataannya hari ini menegaskan bahawa beliau berazam untuk meningkatkan imej positif JPJ ke tahap yang lebih tinggi dan sekaligus meningkatkan tahap integriti di kalangan warga kerja Jabatan tanpa mengesampingkan aspek kolaborasi rapat dengan jabatan/agensi penguatkuasaan lain di negara ini.


Di samping itu beliau juga menegaskan bahawa tidak akan berkompromi dengan apa juga salah laku yang melibatkan mana-mana warga kerja JPJ dengan pihak-pihak luar yang bersangkutan aspek integriti.

Selain daripada mengamalkan pendekatan “open-door policy” dan terbuka dengan apa-apa juga syor (daripada orang awam) ke arah meningkatkan kecekapan Jabatan di dalam penyampaian perkhidmatan (service delivery) kepada orang awam (adoptasi aspek pendigitalan/ online).

Zailani (kiri) berbincang sesuatu dengan Azam sempena lawatan rasmi Zailani ke atas Azam semalam

Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki juga menyambut baik hasrat ini serta berjanji akan memberi kerjasama padu melalui penempatan Certified Integrity Officer (CeIO) di Bahagian Integriti JPJ.

Ulasnya, sejak dahulu lagi hubungan strategik antara pihak JPJ dan SPRM telah direalisasikan melalui pelaksanaan operasi bersama, seperti “Ops Kenderaan Klon”, Penipuan Ujian Lesen Memandu dan lain-lain.

Dalam sesi pertemuan ini, kedua-dua pihak telah bersetuju untuk menyemak semula Nota Kerjasama (JPJ-SPRM) yang telah dimeteraikan pada tahun 2017 lalu, ke arah usaha untuk menambahbaik dan memantapkan hubungan kerja antara dua Jabatan ini. — DayakDaily