JPBNS sahkan 8 rumah panjang di Sibu dikenakan kawalan pergerakan

Lapan rumah panjang di Sibu dikenakan kawalan pergerakan 14 hari mulai hari ini (9 Jan, 2021).

KUCHING, 9 Jan: Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) hari ini mengumumkan pelaksanaan kawalan pergerakan di lapan buah rumah panjang di Sibu.

Melalui kenyataannya, ia melibatkan Rh. Pasai Siong Tengah, Rh. Pengkalan Rumput Sungai Siong, Rh. Sungai Putus Siong, Rh. Sungai Siong Tengah, Rh. Lubok Lengan Sungai Siong, Rh. Siong Tengah 1, Rh. Sungai Siong Tengah 2 dan Rh. Pengkalan Rumput Pasai Siong Tengah.

“Saringan Covid-19 akan dijalankan oleh Jabatan Kesihatan di semua rumah berkaitan mulai hari ini 9 Januari sehingga selesai,” katanya.


Sekretariat turut memaklumkan bahawa pihak polis telah membuat sekatan perjalanan di simpang masuk ke lokaliti terkesan iaitu lebih kurang 15 kilometer daripada Jalan Teku Pasai Siong bermula jam 11.30 malam tadi.

Sementara itu, makanan dan kemudahan kesihatan akan diberikan kepada lapan buah rumah panjang yang terlibat dalam kawalan pergerakan tersebut.

Lapan buah rumah panjang tersebut dikenakan sekatan pergerakan selama 14 hari susulan 37 individu di salah sebuah rumah panjang berkenaan disahkan positif Covid-19, semalam.

Menurut kenyataan JPBNS Bahagian Sibu, mereka dikesan melalui hasil saringan kes seorang wanita yang balik dari Johor (Kes 1,175) pada 29 Disember 2020 untuk menghadiri pengkebumian bapa beliau. — DayakDaily