JPBD diminta pantau kejadian tanah runtuh di Kg Quop Dayak

Kejadian tanah runtuh di Kampung Quop Dayak.

KUCHING, 1 Mac: Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) Datuk Rubiah Wang telah mengarah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) memantau insiden tanah runtuh di Kampung Quop Dayak pada semalam.

Katanya, ia bagi memastikan langkah pencegahan dibuat segera bagi mengelakkan insiden lain yang lebih buruk daripada berlaku.

“Kepada yang mendiami kawasan pinggiran bukit atau tanah tinggi, perhatikan keadaan sekeliling dari semasa ke semasa.

“Maklumkan kepada pihak berkuasa khasnya Angkatan Pertahanan Awam dan Bomba sekiranya terdapat tanda-tanda berlakunya tanah runtuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Rubiah yang juga MP Kota Samarahan, Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan bahawa dijangka akan berlaku fenomena hujan berterusan di Selatan Sarawak termasuklah di Kuching, Samarahan, Serian dan Sri Aman.

Katanya, terdapat luruan hujan yang banyak dan warga Kota Samarahan dinasihat untuk sentiasa dalam keadaan berwaspada kepada sebarang kemungkinan berlakunya banjir. — DayakDaily