Jom serta ‘The Great Rimba Zumbathon’ Ogos 10 ini

Snowdan (lima dari kiri) mempromosikan TGRZ di Kuching. Turut kelihatan CEO Place Borneo Sdn Bhd, Mona Manap (empat dari kanan).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Jun 11: Warga kota terutama peminat Zumba dipelawa untuk menyertai acara ‘The Great Rimba Zumbathon’ (TGRZ) pada Ogos 10 ini.

Bertemakan rimba, acara Zumbathon ini akan berlangsung di perkarangan Ibu Pejabat Persatuan Dayak Bidayuh Kebangsaan (DBNA) di Jalan Kumpang di sini.

Advertisement

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan berkata, TGRZ merupakan satu produk baharu yang mengajak masyarakat kekal aktif dan cergas.

“Saya berharap acara ini dapat dianjurkan di bahagian lain seperti di Sibu, Bintulu dan Miri pada masa akan datang,” katanya, semasa sidang media yang diadakan di Bilik Persidangan DBNA di sini, hari ini.

TGRZ merupakan karnival yang menyediakan pelbagai aktiviti kecergasan dan dianjurkan bersempena dengan Hari Orang Asal Sedunia yang diraikan pada Ogos 9 setiap tahun.

Selain mengajak masyarakat setempat bersama menjayakan acara ini, Snowdan juga berharap ianya turut disertai peserta dari luar Sarawak.

Penganjur, Place Borneo Sdn Bhd, menyasarkan 300 peserta menyertai acara ini dengan setiap RM2 daripada bayaran penyertaan akan disalurkan kepada pelajar pribumi.

Untuk penganjuran sulung ini, kaum Penan telah dipilih untuk menerima sumbangan.

Pendaftaran menyertai acara ini boleh dibuat di atas talian di laman www.rimbazumbathon.com dan bayaran RM60 ditetapkan untuk pendaftaran awal iaitu sebelum Jun 30.

Bayaran RM75 ditetapkan untuk pendaftaran sebelum Ogos 9 dan RM85 bagi yang mendaftar pada hari acara berlangsung.

Acara TGRZ bertujuan mempromosi gaya hidup sihat menerusi pergerakan Zumba yang bertenaga serta menggabungkan aktiviti kecergasan yang lain.

Menampilkan Pakar Pendidikan Zumba (ZES) dari Korea Selatan, Seon Young Moon, acara ini juga mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan. — DayakDaily

Advertisement