JMM: Amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang

Gambar satelit hari ini mengenai cuaca di negara ini dan negara serantau di laman sesawang Jabatan Meterologi Malaysia.

KUCHING, Okt 25: Jabatan Meterologi Malaysia (JMM) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang akan melanda berapa tempat di negeri ini sehingga jam 5 petang hari ini.

Menurut amaran terbabit yang dikeluarkan jam 1.15 petang ini di laman sesawang jabatan itu www.met.gov.my antara kawasan yang akan mengalami cuaca terbabit ialah Kuching, Samarahan, Simunjan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Mukah, Tanjung Manis dan Daro.

Bukan sahaja Sarawak malahan cuaca terbabit juga akan berlaku di Perak, Pahang, Selangor, Kuala Lumpur, Putra Jaya, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor sehingga 5 petang ini.


Bagaimanapun tiada amaran dikeluarkan jabatan itu bagi hujan lebat berterusan yang boleh mengakibatkan banjir dan juga keadaan keadaan laut bergelora.

Disamping itu ramalan kaji cuaca bagi Sarawak di laman itu mendedahkan negeri ini mula mengalami ribut petir di satu dua tempat di kawasan pendalaman setiap hari dari hari ini sehingga Oktober 31 depan manakala hujan kerap turun di sebelah pagi dan adakalanya waktu malam sepanjang tempoh itu.

Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Musim Monsun Timur Laut dijangka akan mula melanda negeri ini dari November depan sehingga Mac 2019 dan dijangka mengakibatkan beberapa siri hujan monsun yang lebat dan boleh menyebabkan bencana banjir.

Siri hujan monsun terbabit juga dijangka lebih tertumpu di bahagian barat Sarawak dan sekiranya berterusan sehingga tiga hari berturut boleh mengakibatkan banjir di kawasan rendah dan berisiko.

“Sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan kejadian air pasang tinggi, risiko kejadian banjir akan menjadi lebih buruk lagi. Ketinggian air pasang paling tinggi ketika air pasang boleh mencecah sehingga 6.5 meter,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri Sarawak, di Wisma Bapa, Petra Jaya, di sini, baru-baru ini.

Douglas Uggah berkata ketika musim itu Bintulu dan Miri dijangka akan menerima jumlah hujan antara 300 milimetre (mm) sehingga 500 mm pada November dan Disember manakala bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Sarikei, Mukah dan Sibu dijangka menerima hujan di antara 400 mm hingga 550mm pada Disember dan Januari. — DayakDaily