Oleh Cornelius Kadir Edison
KUCHING, 26 Feb: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Sarawak akan membantu Nor Karmira Benny Karmilan, 26, untuk menyediakan persekitaran kediaman lebih kondusif untuknya serta lima orang anaknya.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, terdapat keperluan untuk pihaknya menyediakan persekitaran kediaman yang selesa memandangkan keluarga terbabit tinggal dalam satu bilik yang dikongsi bersama.
“Bantuan ini diluar daripada bantuan yang diberikan oleh JKM dan kita akan usahakan sendiri untuk ini.
“Dari segi proses pembaikan tempat tersebut, kita akan bawa sukarelawan, manakala bahan-bahan atau keperluan berkaitan juga kita akan usahakan sendiri nanti,” katanya ketika ditemui selepas melawat Nor Karmira di kediamannya di Jalan Green di sini hari ini.
Menurut Fatimah, Nor Karmira yang juga seorang ibu tunggal dan terlantar sejak Oktober tahun lalu merupakan penerima bantuan skim Bantuan Kanak-Kanak di Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Kuching semenjak 2014 serta bantuan Baitulmal yang dibayar setiap tiga bulan.
Katanya, sebelum telantar selepas disahkan menghidap penyakit slip disk, Nor Karmira merupakan seorang yang aktif melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara anak-anaknya termasuk mengupas bawang dan menjualnya secara atas talian selain turut membuat kuih muih.
“Nor Karmira pernah diberi Geran Pelancaran sebanyak RM5,000 untuk membantu memajukan perniagaannya namun semenjak PKP tahun lalu dan dengan keadaan dia yang sakit terlantar telah menyebabkan dia telah terputus mata pencarian,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya juga telah berbincang dengan Nor Karmira bagi mempertimbangkan keputusan selanjutnya berkenaan keadaan kesihatan Nor Karmira itu sendiri.
Ini kerana jelas Fatimah, menurut doktor, tiada jaminan untuk Nor Karmira pulih sepenuhnya dari penyakit tersebut kerana proses itu akan bergantung kepada kondisi fizikal Nor Karmira sendiri.
Keperluan untuk beliau (Nor Karmira) untuk menjalani pembedahan atau sebagainya akan dinilai oleh pihak doktor. Jadi kita minta beliau berfikir berkenaan masa depan anak-anaknya sekiranya dia bersetuju dengan apa yang kita cadangkan,” katanya.
Ketika ini, keperluan Nor Karmira dan anak-anaknya diuruskan sepenuhnya oleh ibunya, 43, yang juga merupakan surirumah manakala bapa tirinya yang berkerja sebagai buruh turut mebantu membayar sewa rumah berjumlah RM300 sebulan. — DayakDaily