Industri perkayuan menyumbang pendapatan RM700 juta setahun

Datu Hamden Mohammad

KUCHING, 8 Dis: Industri perkayuan menyumbangkan pendapatan di antara RM500-RM700 juta setahun kepada Kerajaan Sarawak selain daripada menyediakan lebih daripada 100,000 peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini.

Menurut Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Datu Hamden Mohammad pendapatan tersebut diperolehi hasil daripada kutipan royalti, cess dan premium balak.

“Kerajaan Negeri memerlukan pendapatan yang konsisten melalui kutipan cukai dan royalti bagi meneruskan pelbagai projek pembangunan yang diperlukan oleh rakyat Sarawak.


“Selain itu, aktiviti pembalakan perlu diteruskan bagi mengelakkan lebih kurang 100,000 orang yang terlibat dalam aktiviti ini kehilangan pekerjaan. Jika keadaan ini tidak terkawal ia akan lebih merumitkan lagi keadaan terutama dalam situasi ekonomi yang merundum ini,” jelas Hamden dalam ucapan beliau sempena Majlis Seminar Perkongsian Maklumat JHS di Sibu hari ini.

Tambah beliau, JHS terus bertahan sebagai the ‘custodian of Sarawak’s forest’ dalam memastikan hutan di negeri ini diurus dan dijaga dengan baik.

“Walaupun aktiviti pembalakan dan industri perkayuan telah dilaksanakan di Sarawak lebih 100 tahun, namun Sarawak berjaya mengekalkan 62 peratus atau 7.9 juta hektar keluasan Negeri sebagai kawasan litupan hutan. Keluasan ini merupakan 44 peratus daripada luas keseluruhan kawasan litupan hutan yang ada di Malaysia,” kata beliau.

Hamden berkata sebelum diserahkan kepada agensi lain pada awal tahun ini, JHS berjaya mewartakan kawasan seluas 867 ribu juta hektar Kawasan Terlindung Sepenuhnya (TPAs) yang merangkumi taman Negera, Resep Semulajadi dan Sanktuari Hidupan Liar.

“Ini bermakna, agensi tersebut hanya perlu mewartakan kurang daripada 130,000 hektar sahaja sebagai kawasan TPA bagi mencapai sasaran sejuta hektar kawasan TPA di Sarawak menjelang tahun 2022. Walaubagaimanapun, jika kita mengambil kira kawasan berair termasuk laut seperti Luconia Shoals National Park, kita sebenarnya telah mempunyai kawasan TPA seluas 2.1 juta hektar.

“Sebagai rekod juga, dengan memiliki 65 buah kawasan TPAs yang terdiri daripada 45 buah Taman Negara, 15 buah Rizab Semulajadi dan 5 buah Sanktuari Hidupan Liar, Sarawak merupakan negeri yang paling banyak memiliki kawasan TPAs di Malaysia,” kata beliau.

Hamden juga berkata Kerajaan Negeri amat komited untuk memperkayakan Kawasan Hutan Terosot yang terdapat di Sarawak dengan memperkenalkan Program Restorasi Landskap Hutan.

“Bagi menjayakan program ini, Kerajaan Negeri melalui JHS telah melancarkan Kempen Menanam tujuh (7) juta anak pokok setahun mulai tahun 2021.

“Sebagai sokongan kepada perlaksanaan program ini, JHS telah membangunkan beberapa buah tapak semaian di seluruh Sarawak iaitu di Sabal Agro Forestry Center untuk zon selatan, Jalan Oya di Sibu untuk zon tengah dan Niah untuk zon utara. Ini bagi memastikan bekalan anak benih pokok spesies tempatan yang bernilai tinggi mencukupi untuk ditanam dan diagihkan kepada pihak-pihak lain yang memerlukan,” katanya lagi.

Jelas Hamden, dianggarkan lebih kurang 600,000 anak pokok pelbagai spesies sedia untuk ditanam dan diagihkan kepada pihak-pihak yang memerlukan.

“Kita akan mewujudkan lebih banyak nursery lagi bagi menampung keperluan anak-anak pokok ini bagi menjayakan program FLR ini termasuk di Bintawa Kuching, Lawas dan Ulu Baram,” katanya.

Dalam pada itu, Hamden menjelaskan bahawa pengurusan persijilan hutan di Sarawak turut diperkasakan dengan melaksanakan Sustainable Forest Management (SFM) dalam pengurusan dan pembangunan hutan. Kerajaan Negeri mewajipkan semua pemegang lesen pembalakan untuk memperolehi status persijilan pengurusan hutan masing-masing menjelang tahun 2022.

“Di bawah inisiatif ini sebanyak 14 kawasan Forest Management Unit (FMU) yang berkeluasan 1.4 juta hektar telah memperolehi status persijilan masing-masing. Pencapaian ini membuktikan bahawa pengurusan hutan yang diamalkan Sarawak adalah mengikut piawaian antarabangsa,” jelas beliau.

Dalam hal berkaitan, Hamden berkata, untuk mendapat pengiktirafan antarabangsa, Jabatan Hutan Sarawak mengadakan kerjasama pintar dengan pelbagai agensi antarabangsa seperti CITES, RAMSAR, UNESCO World Heritage Site, HoB dan sebagainya.

“Menerusi kerjasama ini, JHS telah mendapat bantuan teknikal dan penyelidikan yang berkelas dunia, technology transfer dan suntikan dana untuk memperkasakan lagi pengurusan dan penjagaan hutan di Sarawak.

“Sebagai contoh, di bawah inisiatif HoB, JHS telah memperolehi dana sebanyak RM26.24 juta daripada Kerajaan Persekutuan dalam RMKe-11. Di bawah inisiatif ini juga, sebanyak USD 500 ribu telah disumbangkan oleh Wildlife Conservation Society New York (WCS) dan Euro 2.72 juta daripada World Wide Fund for Nature (WWF).

“Terkini, di bawah projek Food Systems, Land Use and Restoration (FOLUR) tajaan Global Environment Facility (GEF) dan United Nation Development Programme (UNDP), bakal memperolehi dana berjumlah USD7.368 juta yang akan dikongsi dengan Sabah,” katanya.

Sementara itu, Hamden berkata, Pasukan Gerak Khas kementerian yang diketuai oleh Leftenan Jenaral (bersara) Datuk Stephen Mundau telah mengukuhkan lagi operasi pembentarasan pembalakan haram di Sarawak melalui Op Rengasnya.

“Operasi ini mencapai kejayaan yang besar kerana maklumat-maklumat yang diperolehi adalah tepat bagi membolehkan serbuan melalui udara, darat dan air dilaksanakan dengan berkesan. Disamping itu juga, Jabatan Hutan Sarawak turut mengadakan operasi bersama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan negeri yang lain seperti Polis DiRaja Malaysia, SPRM, Maritim, UKPN dan sebagainya,” kata Hamden. — DayakDaily