KUCHING, Julai 19: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bersama agensi berkaitan telah menjalankan operasi membanteras kegiatan menternak burung walit secara haram di negeri ini.
JHS dalam satu kenyataan memberitahu, operasi yang dijalankan ialah memeriksa premis yang digunakan untuk menternak burung walit secara komersial.
Tegas JHS, perbuatan membina dan mengubah bangunan untuk kegiatan pemeliharaan walit di kawasan bandar dan kawasan perumahan adalah diharamkan dan tidak dibenarkan sama sekali.
“Kerajaan negeri menerusi JHS tidak akan mengeluarkan lesen penternakan burung walit kepada sesiapa yang membina atau mengubah struktur bangunan yang sedia ada untuk tujuan penternakan di kawasan bandar dan penempatan awam.
“Di bawah Seksyen 33 dan 37 Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 memperuntukkan hukuman kepada sesiapa yang didapati memiliki, memelihara hidupan liar secara haram dan boleh dipenjara sehingga dua tahun atas kesalahan di atas,” kata JHS hari ini.
JHS menambah, dua jenis lesen tersebut adalah lesen membina, mendiri dan menyelenggarakan bangunan atau struktur untuk menternak burung walit serta lesen menternak burung walit .
Menurut JHS, sebelum lesen penternakan burung walit secara komersial boleh dipertimbangkan untuk kelulusan, pemohon perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh JHS.
“Antara syaratnya adalah menghantar permohonan lengkap kepada Kontroler Hidupan Liar yang kemudiannya akan merujuk kepada jabatan serta agensi yang terlibat seperti Jabatan Tanah dan Survei, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan serta Jabatan Penerbangan Awam untuk mendapatkan pandangan dan maklum balas.
“Hasil maklum balas daripada jabatan dan agensi yang berkaitan, Jabatan Hutan akan mengemukakan permohonan berkenaan kepada Majlis Perancangan Negeri (SPA) untuk kelulusan tapak,” kata JHS.
Sambil menambah, JHS tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang didapati menyalahi peruntukan Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998. — DayakDaily