Jerebu teruk di Miri adalah setempat, bersifat sementara — JPBN

Keadaan kebakaran di kawasan Kompleks Hamidah.

KUCHING, 10 Ogos: Keadaan jerebu yang teruk di Miri yang memberikan bacaan index pencemaran udara (IPU) 300, yang melebihi tahap tidak sihat, adalah bersifat sementara.

Buat masa ini, tindakan seperti yang termaktub di dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2019 tidak akan dilaksanakan, menurut kenyataan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, hari ini.

Namun demikian, kualiti udara di Miri akan dipantau dalam masa 24 jam seterusnya.

Keadaan kebakaran hutan di kawasan Kompleks Hamidah, Miri.

“Bacaan IPU Jabatan Alam Sekitar yang direkodkan pada hari ini pada jam 3 petang menunjukkan satu kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap bahaya, iaitu di Stesen ILP Miri dengan dengan bacaan 390.

“Satu stesen mencatatkan status kualiti udara pada tahap tidak sihat dari stesen SK Kuala Baram 2, manakala baki 11 stesen lagi menunjukkan bacaan sederhana.


“Stesen pemantauan kualiti udara di kawasan ILP Miri dan SK Kuala Baram 2 Sarawak menunjukkan peningkatan bacaan IPU ketara yang disebabkan oleh kebakaran di kawasan berkenaan,” menurut kenyataan tersebut.

Peningkatan bacaan IPU lain-lain stesen diakibatkan oleh jerebu rentas sempadan yang berlaku di Kalimantan, katanya.

Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Miri berusaha memadam kebakaran di kawasan kompleks Hamidah.

Menurut jawatankuasa itu, berdasarkan laporan oleh ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) yang berpusat di Singapura semalam, imej satelit National Oceanic and Atmospheric Administration (NOAA)-19 telah mengesan 93 titik panas (hotspot) di Kalimantan dan empat di Sumatera, Indonesia, dan tiga di Sarawak iaitu satu di Mukah dan dua di Sibu.

“Arah pergerakan angin dari arah Barat Laut telah membawa asap jerebu dari kawasan Kalimantan yang terjejas ke kawasan Barat Sarawak dan memberi peningkatan kepada bacaan IPU di kawasan-kawasan tersebut.

“Bagi situasi jerebu di Miri bacaan yang tinggi direkodkan dari stesen berkenaan merupakan jerebu setempat dan pemantauan IPU akan dilakukan secara berterusan,” ia menambah.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak menasihati orang ramai untuk tidak melakukan apa-apa aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menjejaskan lagi kualiti udara dan menyebabkan jerebu bertambah buruk. — DayakDaily