Oleh Chris Bishop
KUCHING, 24 Sep: Atlet dari Kampung Singai Daun, Jennyla Kueh akhirnya berjaya merangkul pingat emas Para Sukma setelah mencuba di enam edisi yang lalu.
Beliau pada pagi tadi mencipta sejarah buat sendiri dengan memenangi emas dalam acara rejam lembing dengan catatan 11.81 meter.
“Ini adalah pingat emas pertama buat saya dan ia adalah Para Sukma saya yang ketujuh,” katanya ketika ditemui selesai majlis penyampaian pingat di Stadium Sarawak.
Jennyla, 35, bekerja sebagai tukang jahit di sebuah butik di Ampang, Kuala Lumpur.
Tambah beliau, pingat emas sulung tersebut didedikasikan buat ibu beliau yang sentiasa memberi sokongan.
“Sebab sekarang saya cuma ada ibu, ayah saya baharu sahaja meninggal dua tahun lepas,” katanya.
Pada semalam, Jennyla berjaya memenangi pingat perak dalam acara lempar cakera wanita.
Manakala esok pula, beliau akan sekali bertanding iaitu dalam acara lontar peluru wanita. — DayakDaily