This Content Is Only For Subscribers
KUCHING, 24 Jun: Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan bermesyuarat Julai ini berhubung penyerahan kuasa seliaan Pelabuhan Bintulu kepada Sarawak.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata, mesyuarat akan diadakan pada minggu pertama atau kedua Julai.
“Saya ambil maklum dan akan memanggil jawatankuasa selain mendapatkan panduan arah dari Perdana Menteri.
“Ini bersesuaian dengan apa yang dikatakan oleh Perdana Menteri, kalau ia memang hak Sarawak memang patut dikembalikan kepada Sarawak,” kata Fadillah.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Program Love My Neighbourhood Petra Jaya di Dewan Kampung Malaysia Jaya di sini, hari ini.
Tambah Fadillah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal MA63, pada semalam beliau telah mendengar taklimat daripada Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah mengenai hasrat Sarawak untuk penukaran status Pelabuhan Bintulu kepada Kerajaan Negeri.
Katanya, kerajaan Sarawak bercadang untuk menubuhkan satu entiti penguatkuasa pelabuhan.
“Ini bersesuaian dengan apa yang terkandung dalam Perlembagaan Malaysia dan Sarawak di mana pelabuhan adalah dibawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Untuk itu, kita melihat bahawa Pelabuhan Bintulu masih di bawah kawal selia kerajaan Persekutuan.
“Jadi hasratnya ialah kalau dapat penyerahan balik Pelabuhan Bintulu kepada kerajaan negeri bersesuaian dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan,” ujar Fadillah. — DayakDaily