Jawatan presiden tidak dipertandingkan pada TDC PRS April ini

Corrine (lima dari kiri) menyerahkan cek kepada Jane. Turut kelihatan Janang (kanan) dan Joseph (dua dari kanan).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 15 Feb: Tiada pertandingan bagi jawatan Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada Persidangan Perwakilan Tritahunan (TDC) yang bakal berlangsung pada 24 April 2022 di Sibu.

Setiausaha Agung PRS Dato Ir Janang Bungsu berkata, ahli-ahli majlis tertinggi parti telah mencapai muafakat bahawa jawatan tersebut tidak akan dipertandingkan.


“Ahli-ahli majlis tertinggi PRS telah memutuskan bahawa, kita berharap tiada pertandingan bagi jawatan presiden pada TDC nanti.

“Kita (PRS) kukuh sebagai satu parti, tiada perebutan bagi jawatan presiden dan itu adalah harapan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis penyerahan cek kepada Rumah Amal Chessire Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.

Cek sumbangan berjumlah RM5,000 daripada Cahya Mata Sarawak (CMS) tersebut telah diserahkan isteri Masing, Puan Sri Corrine Masing kepada Pengurus Rumah Amal Cheshire Jane Sebastian.

Dengan muafakat daripada kesemua pemimpin PRS, Janang menyifatkan pemangku presiden Datuk Joseph Salang akan mengambil alih jawatan presiden selesai TDC itu nanti.

Menurut beliau lagi, PRS masih berada di dalam situasi berkabung sebagai mengingati pemergian presiden Tan Sri Dr James Masing pada 31 Oktober lalu.

“Kita mahukan persidangan perwakilan dan peralihan jawatan nanti berlangsung dengan lancar,” katanya.

Jawatan presiden kosong selepas Masing meninggal dunia pada 31 Oktober lalu, dan dipangku oleh Salang yang merupakan Timbalan Presiden.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa TDC terpaksa diadakan awal daripada jadual asal iaitu pada 7 Mei 2022 disebabkan arahan daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijangka hadir untuk merasmikan TDC itu nanti. — DayakDaily