‘Janji tinggal janji – semaya balang’, kata Uggah

Datuk Amar Douglas Uggah Embas

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 13 Nov: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas gesa kerajaan pusat menunaikan kewajipan dan janji kepada Sarawak.

Katanya, peruntukan 7.8 peratus untuk pembangunan Sarawak dalam Belanjawan 2020 negara menggambarkan kerajaan pusat tidak menghargai sumbangan besar Sarawak kepada ekonomi negara.


“Seperti yang diumumkan pada Belanjawan Negara 2020, jumlah perbelanjaan pembangunan adalah RM56 bilion dan hanya RM4.4 bilion iaitu bersamaan 7.8 peratus diperuntukkan kepada Sarawak.

“Ini tidak seperti janji Pakatan Harapan (PH) di dalam Manifesto Pilihanraya-Buku Harapan ‘Rebulding Our National Fulfilling Our Hopes’, Promise No 42,” katanya.

Uggah berkata demikian pada ucapan penggulungan Kementerian Kewangan di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Menteri Kewangan II tersebut menambah, janji (No 42) menyatakan lebih 30 peratus dari peruntukan bajet negara pada setiap tahun akan diagihkan kepada Sabah dan Sarawak.

“Jelas, Pakatan Harapan sudah tidak mengotakan janji dan berbohong kepada rakyat Sarawak.

“Janji tinggal janji, semaya balang,” tegas Uggah yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah. — DayakDaily