‘Jangkaan keuntungan Petronas meningkat menyokong kesungguhan mendapatkan balik hak Sarawak’

Dr Sim ditemuduga selepas mengiringi Ahmad Zahid berangkat pulang ke Kuala Lumpur di LTAK.
Advertisement

KUCHING, April 23: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) menjangkakan keuntungan Petronas akan meningkat tahun ini berikutan harga minyak di pasaran dunia ketika ini sudah meningkat sehingga 70 dolar US (Amerika Syarikat) setong berbanding harga terendahnya 52 dollar US setong tahun lepas.

Presiden SUPP Professor Datuk Dr Sim Kui Hian berkata demikian dan mendedahkan keuntungan Petronas tahun lepas ketika harga minyak serendah 52 dollar US ialah sebanyak RM45 bilion dengan satu pertiga keuntungan itu atau sebanyak RM15 bilion adalah hasil minyak dari negeri ini.

“Sekarang harga minyak petrol mencecah 70 dollar US setong, jadi bagi BN (Barisan Nasional) Sarawak tidak perlulah mempersoalkan kesungguhan kami mahu mendapatkan (keuntungan Petronas) dari hasil minyak dan gas negeri ini dan juga hak negeri ini dibawah Perjanjian Malaysia 1963,” katanya ketika selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berangkat pulang ke Kuala Lumpur di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), di sini, hari ini.

Advertisement

Dr Sim berkata sekiranya sebahagian besar keuntungan dari hasil minyak negeri ini dikembalikan Petronas kepada Sarawak yang populasi penduduknya hampir tiga juta orang, negeri ini akan mampu membina sendiri sekolah, hospital malahan membayar Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikenakan kerajaan pusat terhadap rakyat Sarawak.

“Kutipan GST dan cukai pendapatan peribadi yang dikutip kerajaan pusat dari negeri ini hanya berjumlah RM3 bilion setahun; bayangkan kalau kita ada lebih RM15 bilion hasil minyak negeri ini setiap tahun,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Sim meminta penduduk negeri ini bersatu menyokong BN Sarawak yang diketuai Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang bukan sahaja mahu mengembalikan hak negeri ini dibawah Perjanjian Malaysia 1963 tetapi juga berusaha mendapatkan pembahagian hasil minyak lebih baik kepada negeri ini dengan menubuhkan syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

Di samping itu, beliau gembira kerana sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, Ahmad Zahid sempat menyampaikan cek peruntukan keseluruhannya sebanyak RM1 juta kepada empat sekolah rendah aliran Cina di negeri bagi membantu membina bangunan sekolah terbabit.

Sekolah itu ialah SJK Chung Hua Batu 7 Matang yang menerima sebanyak RM250,000 dan SJK Chung Hua Batu 11 Matang (RM200,000), SJK Chung Hua Batu 35 Bahagian Serian (RM250,000) dan SJK Chung Hua Syn San Too (RM300,000). — DayakDaily

Advertisement