Jangan pilih kasih laksanakan pembangunan, kata Brolin

Brolin Nicholsion
Advertisement

SERIAN, 3 Mac: Kerajaan sama ada kerajaan persekutuan atau negeri diseru untuk tidak pilih kasih ketika menyalurkan peruntukan penbangunan kepada sesebuah kawasan.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Serian, Brolin Nicholsion berkata, adalah tidak berasas untuk kerajaan memilih bulu untuk memberi peruntukan hanya kepada mereka yang menyokong kerajaan sedia ada.

Katanya, peruntukan tersebut seharusnya menyeluruh termasuk kepada kawasan dikuasai pembangkang kerana terdapat juga rakyat yang di kawasan terbabit yang menyokong kepimpinan kerajaan semasa.

Advertisement

“Oleh kerana kerajaan sebeginilah susah untuk negara yang mempunyai begitu banyak sumber gagal untuk membangun negaranya sendiri kerana bersikap pilih kasih terhadap sesiapa yang menentang mereka,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Brolin dalam pada itu turut mendakwa kenyataan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Willie Mongin yang beranggapan kemasukan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng yang mesra Perikatan Nasional akan memberi manfaat kepada rakyat di konstituensi terbabit sebagai tidak berasas.

Katanya, sebagai timbalan menteri, Willie seharusnya peka terhadap kawasan yang ketinggalan dari segi pembangunan dan menasihati kerajaan untuk membangunkan kawasan tersebut agar ia tidak terus ketinggalan berbanding kawasan lain.

“Hanya dengan cara begini, kerajaan betul-betul dapat membangunkan negara agar negara dapat mencapai visi dan misi mereka. Bukankah wawasan kemakmuran bersama menyasarkan tiada satu pun rakyat akan ketinggalan?

“Berhentilah melayan rakyat di kawasan pembangkang sebagai rakyat kelas kedua kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia dan Datuk Willie Mongin juga harus tidak mengalakkan wakil rakyat untuk lompat parti kerana tindakan ini boleh mengugat sistem demokrasi berparlimen,” katanya. — DayakDaily

Advertisement