Jangan naikkan harga barangan yang tidak dikenakan SST – Chong

Chong (dua dari kiri) mendengar penjelasan Lim (kiri) mengenai operasi kilang Sundrop Fruit Juices.
Advertisement

KUCHING, September 1: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi amaran kepada peniaga supaya tidak menaikkan harga barangan yang tidak dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang mula dikutip hari ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen, berkata peniaga tidak boleh menggunakan SST sebagai alasan untuk menaikkan harga, terutamanya ke atas 5,400 barangan yang dikecualikan cukai SST.

“Kami (KPDNHEP) tahu barangan yang dikenakan cukai SST dan yang dikecualikan dari cukai itu, pegawai kementerian ini akan menjalankan penguatkuasan dan memantau harga barangan terbabit.

Advertisement

“Oleh itu saya menyeru para peniaga supaya jangan mengambil kesempatan menaikkan harga,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke kilang Sundrop Fruit Juices Sdn Bhd di Jalan Batu Kitang, di sini, hari ini.

Chong berkata sekiranya ada peniaga dikesan menaikkan harga barang yang dikecualikan dari dikenakan SST bagi meningkatkan margin keuntungan, maka peniaga terbabit akan didakwa dibawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Dibawah akta itu, sekiranya disabit kesalahan, bagi orang perseorangan, denda sebanyak RM100,000 atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya akan dikenakan bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan berikutnya akan dikenakan denda sebanyak RM250,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Manakala bagi pertubuhan Perbadanan atau syarikat akan dikenakan denda sebanyak RM500,000 bagi kesalahan pertama, manakala denda sebanyak RM1 juta bagi kesalahan kedua atau berikutnya.

Disamping itu, Chong berkata SST yang diperkenalkan kerajaan Pakatan Harapan adalah lebih mesra kepada peniaga dan pengguna kerana mengecualikan sehingga 5,400 barangan berbanding Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), yang sebelum ini yang hanya mengecualikan sebanyak 500 barangan.

“Daripada 552 jenis barangan yang biasanya paling kerap dibeli pengguna dan akan digunakan bagi mengira indeks harga pengguna, sebanyak 60 peratus barangan terbabit dikenakan GST sebelum ini, tetapi kini hanya 38 peratus sahaja barangan itu dikenakan SST,” katanya.

Menurutnya sebelum ini, setiap bulan sebanyak 430,000 perniagaan perlu menghantar penyata kutipan GST mereka kepada kerajaan tetapi bagi cukai SST hanya 80,000 perniagaan sahaja perlu berbuat demikian yang mengurangkan kos pengurusan kepada sebanyak 350,000 perniagaan di negara ini.

“Dibawah GST, hasil kutipannya mencecah RM44 bilion setahun yang diserahkan kepada kerajaan, tetapi dibawah SST, hasil kutipannya dijangkakan mencecah RM21 bilion setahun dan ini menunjukkan rakyat kini membayar hanya separuh dari cukai GST,” katanya.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai tidak membezakan harga barangan dipasaran sejak tiga bulan lepas yang tiada dikenakan sebarang cukai dengan harganya setelah bermulanya kutipan SST hari ini.

Chong juga menyarankan peniaga di negeri ini mengikuti syarikat Sundrop Fruit Juices Sdn Bhd yang buat sementara ini dalam tempoh permulaan kutipan SST akan mengekalkan harga minuman dalam tin keluaran mereka dan berusaha menyerap kos cukai terbabit.

Chong (kanan) melihat operasi kilang Sundrop Fruit Juices ketika lawatan KPDNHEP ke syarikat itu.

Pengarah urusannya, Lim Yu Kong, berkata pihaknya memahami kerajaan perlu mengenakan SST kerana menanggung beban hutang negara yang besar dan pihaknya bersedia berkerjasama sebaik mungkin bagi membantu dalam hal itu.

“Kami bagaimanapun tidak mahu berlaku seperti sebelum ini dimana produk kami yang sudah dikenakan SST apabila memasuki pasaran telah dikenakan pula cukai GST, akibatnya jualan kami pada 2015 sehingga 2018 telah menurun dan  masih belum pulih sehingga kini,” katanya.

Beliau sehubungan itu berharap SST yang bermula kutipannya hari ini tidak akan menyebabkan syarikat terpaksa menaikkan harga produk mereka di pasaran dan sekiranya cukai terbabit hanya minima kesannya, syarikat terbabit bersedia menyerap kos cukai itu. — DayakDaily

 

Advertisement