Oleh Dean Adam
MIRI, Okt 26: Golongan wanita di negeri ini harus tidak malu untuk membuat pemeriksaan pap smear secara berkala.
Menteri Kebajikan Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pemeriksaan awal penting untuk mengesan penyakit barah pangkal rahim atau kanser serviks.
Jelas beliau, mencegah penyakit barah itu amat penting sebelum ia terlewat disebabkan kesihatan yang baik amat penting bagi golongan wanita.
“Jadi, wanita di negeri ini perlulah mengikis perasaan malu agar penyakit barah tersebut dapat dicegah dan dikesan sebelum terlewat.
“Golongan tersebut tidak wajar mengatakan ketiadaan masa sebagai alasan tidak pergi menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Sambutan Hari Wanita Peringkat Daerah Subis 2018 anjuran Pejabat Daerah Subis di sini semalam.
Antara aktiviti yang diadakan ialah taklimat kanser serviks, klinik bergerak pap smear LPPKN, pemeriksaan kesihatan serta booth masakan Masterchef Sihat dan booth Mamacare.
Sementara itu, Fatimah memberitahu, berdasarkan maklumat diterima, masih ramai wanita berusia 40 tahun ke atas tidak pernah menjalani pemeriksaan pap smear.
Katanya, jangan alpa dan tidak ambil mudah untuk melakukan pemeriksaan berhubung penyakit itu.
“Pemeriksaan yang dilakukan hanya mengambil masa beberapa minit sahaja dan jangan ambil sikap mudah kerana penyakit ini boleh membunuh,” katanya. — DayakDaily