Jangan libatkan diri dalam gejala dadah tegas Harry Jinep

Henry bersalaman dengan para tetamu jemputan.

BAU, Ogos 18: Kes penyalahgunaan dadah merupakan antara isu yang hangat diperkatakan di daerah Bau sejak kebelakangan ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep, berkata generasi muda khususnya golongan pelajar perlu menjauhi diri daripada sebarang jenis dadah.

Jelasnya, mereka juga harus berani katakan tidak kepada dadah dan tanam dalam hati bahawa dadah adalah pembunuh sekali gus mengelakkan diri terjebak dengan najis dadah.


“Golongan pelajar merupakan generasi yang sangat bernilai dan aset kepada negara kerana bakal mewarisi kepimpinan dan pembangunan negara pada masa hadapan.

“Justeru, mereka perlu menghindarkan diri daripada terjebak dengan najis dadah dan gejala sosial yang lain,” katanya dalam Majlis Permuafakatan Pendidikan Daerah Bau Fasa 2 di SK St John Singai di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau juga memberitahu, antara punca terjadinya penagihan dadah disebabkan pengaruh kawan, rasa ingin tahu, tidak sengaja dan pelbagai lagi.

Katanya, perkara seumpamanya haruslah dihindari, apa lagi golongan pelajar adalah harapan keluarga.

“Saya juga berharap ibu bapa melakukan pengawasan dan pemantauan yang rapi terhadap perkembangan anak-anak mereka dalam usaha kita mencegah najis dadah ini.

“Ibu bapa juga boleh menjadi ‘role model’ kepada anak-anak dan memainkan peranan penting dalam membimbing, memupuk nilai-nilai murni serta melengkapkan mereka dengan ilmu keagamaan.

“Jika ibu bapa gagal menjadi contoh yang baik, maka anak- anak akan menjadi keliru sehingga menjadikan rakan dan orang lain sebagai model sehingga mereka terdedah kepada unsur-unsur negatif termasuk najis dadah,” ujarnya lagi. — DayakDaily