Jangan lakukan pembelian panik — Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 15 Okt: Orang ramai terutamanya di kawasan yang di kenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) atau kawasan di Zon Merah dinasihat untuk tidak melakukan pembelian panik barangan keperluan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, secara keseluruhan bekalan makanan dan barang keperluan adalah mencukupi dan mampu menampung keperluan yang berterusan serta mudah diperolehi.


“Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian,” katanya menerusi sidang media secara langsung dari kediaman beliau hari ini.

Katanya, walaupun dalam tempoh PKPB, premis peniagaan masih beroperasi mengikut tempoh waktu yang dibenarkan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan bekalan barangan keperluan mereka.

Jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi juga turut diberikan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MOA) selain pemantauan berterusan dilaksanakan oleh kementerian itu di peringkat pengeluar makanan.

Beliau berkata, sejak 13 Mei 2020, Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melakukan 233,579 pemeriksaan di 233,579 premis perniagaan melibatkan 46,915 anggota penguatkuasa.

“Semalam, KPDNHEP telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 728 premis perniagaan termasuk peruncit (521), pemborong (178) dan pengilang (29),” katanya. — DayakDaily