“Jangan kelirukan penduduk akar umbi” – Roland Engan

Roland Engan

Oleh Peter Sibon

KUCHING, 8 Jun: Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Baram Roland Engan mengingatkan parti politik tertentu untuk mempromosikan parti mereka secara teratur dan tertib untuk mengelakkan kekeliruan.

Menurut Roland, pada petang Ahad lepas, beliau ditanya untuk pengesahan oleh beberapa penduduk Penan di Ulu Baram samada beliau meminta ahli PKR mengisi Borang Keahlian sesebuh parti politik tersebut.


“Ini adalah kerana mereka diberitahu bahawa borang-borang itu dikatakan diedarkan oleh saya. Kekeliruan ini berjaya ditangani apabila saya menjelaskan bahawa parti tersebut bukanlah parti PKR,” jelas Roland dalam satu kenyataan hari ini.

Ekoran daripada insiden ini, beliau dengan tegas ingin mengingati mana-mana pihak yang ingin mempromosi parti masing-masing, supaya mempromosi secara teratur, tertib dan menyampaikan maklumat yang tepat untuk mengelakkan kekeliruan.

“Seterusnya, saya ingin memberitahu dengan jelas bahawa parti PKR Cabang Baram kekal teguh dan sedang dalam proses persiapan pilihanraya negeri Sarawak dan/atau pilihanraya umum Malaysia, jika diadakan serentak,” jelas belau.

Roland menegaskan bahawa dengan komitmen yang tinggi daripada penyokong-penyokong PKR di Baram maka beliau telah diberi kepercayaan oleh Majlis Pimpinan Pusat untuk berkhidmat sebagai Naib Pengerusi PKR Sarawak, selaku Ketua Biro Reformasi Institusi dan Urus Tadbir Kerajaan.

Selain daripada itu, Roland turut memberitahu bahawa bekas Ahli Parlimen Baram Harrison Ngau telah dilantik sebagai Ahli Majlis Pimpinan Negeri PKR Sarawak, Ketua Biro Tanah dan Alam Sekitar dan juga menjadi Penyelaras Sekretariat Jawatankuasa Pilihanraya Negeri Sarawak.

“Maka seluruh ranting, ahli dan penyokong PKR Baram perlu tahu bahawa kesungguhan anda semua bersama PKR Baram telah diiktiraf oleh pihak Majlis Pimpinan Pusat dan Majlis Pimpinan Negeri sehingga kami diberi kepercayaan untuk bertugas di peringkat negeri Sarawak,” kata Roland.

Sememtara itu, beliau menyeru penyokong-penyokong PKR Sarawak supaya terus teguh bersama parti tersebut.

“Untuk itu, kami memastikan perjuangan PKR Sarawak kekal diteruskan di bawah pasukan pimpinan berbilang kaum yang baru. Kepentingan semua kaum dibela dan agenda mewujudkan masyarakat yang adil, demokratik, progresif, bersatu and beramanah tetap diteruskan,” tambah Roland. —DayakDaily