Jangan kecil hati jika tidak terpilih sebagai AJK parti — Fatimah

Fatimah (berdiri tengah, baju merah dan seluar panjang putih) dan Rosey (berdiri sebelah kiri Fatimah) bergambar beramai-ramai dengan ahli PBB Bekenu (Wanita dan Pemuda) selepas merasmikan Skuad Sayang untuk kawasan N71 Bekenu.

MIRI, Jan 21: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah semalam mengingatkan ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) N71 Bekenu untuk tidak berkecil hati walaupun tidak terpilih dalam pencalonan ahli jawatankuasa sewaktu mesyuarat pemilihan perwakilan yang lepas.

Sebaliknya beliau menyeru mereka untuk terus memberi sokongan yang padu dalam memastikan PBB sentiasa utuh dan releven.

Fatimah yang juga merupakan ADUN Dalat, berkata, sokongan padu dari semua ahli (Pemuda dan Wanita) adalah tunjang kekuatan PBB.


“Tidak bermakna kalau kita tidak memegang sesuatu jawatan dalam parti, kita tidak dapat menyumbang. Setiap ahli parti memainkan peranan penting…jawatan itu satu tanggungjawab…” jelas beliau.

Tambahnya, selepas pemilihan beliau berharap ahli –ahli yang tidak terpilih tidak berkecil hati.

“Kita harus mengorak langkah ke hadapan dan bersatu dalam mengukuhkan PBB,” ujar beliau.

Seiringan dengan itu, Fatimah menyeru ahli baru dan lama yang telah terpilih semasa mesyuarat perwakilan N71 lepas untuk sama-sama bergerak seiringan dalam menjadikan parti itu kuat.

Beliau berucap ketika merasmikan Skuad Sayang N71 Bekenu di sebuah hotel di Miri lewat petang Sabtu.

Turut hadir dalam majlis tersebut, ADUN Bekenu, Rosey Yunus dan lebih 200 orang ahli Wanita dan Pemuda PBB kawasan N71 (Bekenu). — DayakDaily