KUCHING, 2 Ogos: Ahli Parlimen Julau Larry Sng meminta kerajaan segera menjalankan kerja penyukatan tanah dan memberi surat hak miliknya kepada penduduk luar bandar negeri ini dan tidak menjadikan kosnya sebagai penghalang.
“Kami tidak boleh menerima alasan mereka (kerajaan), yang ini memerlukan kos wang yang banyak dan sebagainya. Sebenarnya kalau bercakap mengenai negeri ini, simpanan (reserve) Sarawak, kita ada lebih RM30 bilion,” katanya semasa menyertai acara “Keadilan Sarawak Facebook Live: Ekonomi Luar Bandar Pemilikan Tanah dan Pertanian”, hari ini.
Sng yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak sehubungan itu percaya sekiranya betul mahu menyukat tanah milik penduduk negeri ini, Sarawak mampu menyukat banyak tanah tersebut dan bukan boleh dilakukan setahun atau dua tahun ini sahaja tetapi sejak lama dahulu lagi.
“Disebabkan kita tidak dapat menyukat tanah (di luar bandar), banyak tanah terbabit menjadi tanah PL yang diberikan kepada syarikat besar dan juga banyak isu tanah kerana tiada hitam putih (mengenainya),” katanya.
Selain itu, beliau berkata penyukatan tanah tersebut juga perlu disegerakan kerana ramai yang berpengetahuan mengenai tanda sempadannya adalah golongan tua dan kemungkinan pengetahuan itu tidak diturunkan kepada anak atau cucu cicit mereka.
“Satu atau dua generasi seterusnya, ramai akan tidak ingat lagi mana sempadan kawasan (tanah asal di luar bandar) mereka,” katanya dan menjelaskan ini kerana ada sempadan tanah itu ditanda dengan mengingatkan jarak antara sungai dan batu besar berhampiran.
Sng berkata PKR Sarawak berikutan itu sekiranya berjaya menjadi kerajaan negeri, akan menjadi kerja penyukatan tanah milik orang asal itu negeri ini sebagai agenda utama mereka. — DayakDaily