Jangan abaikan aspek keselamatan, kesihatan ketika sambut perayaan — DTTAS

Christmas — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

KUCHING, 17 Dis: Masyarakat yang menyambut perayaan Hari Krismas diseru untuk tidak mengabaikan aspek keselamatan dan kesihatan disamping kemeriahan sambutan perayaan tersebut.

Tegas Dayak Think-Tank Association Sarawak (DTTAS) dalam satu kenyataan, masyrakat di Sarawak dinasihatkan agar tidak melakukan aktiviti kunjung-mengunjungi semasa perayaan Hari Krismas dan cuti Tahun Baru bagi mengurangkan risiko penularan pandemik Covid-19.

“Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak telah memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 28 November–31 Disember 2020.

“Dalam perlaksanaan tempoh PKPP itu bermakna tindakan penguatkuasaan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 masih digunakan.

“Ini adalah untuk memastikan semua pihak mematuhi Prosedur Operasi ‘Standard’ (SOP) dan protokol kesihatan yang ditetapkan,” tegas DTTAS.

Sambutan perayaan terbabit seharusnya dilakukan dalam keadaan penuh dengan kesederhanaan dan keinsafan sesuai dengan situasi semasa negara dan dunia pada ketika ini, tambah DTTAS.

Penggunaan teknologi terkini dan media sosial pula boleh diadaptasikan untuk sambutan tersebut bagi mereka yang berjauhan dengan keluarga disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang masih berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

“Kita boleh meraikannya dengan cara baharu, iaitu dengan menggunakan gajet dan perisian yang ada dengan berkomunikasi secara video di atas talian bersama saudara-mara di mana jua mereka berada, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, DTTAS turut menzahirkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berkorban mendepani kemelut penularan pandemik Covid-19 untuk memastikan semua rakyat Malaysia terselamat daripada wabak terbabit.

“Mereka bersama ribuan petugas di seluruh negara adalah wira negara. Semoga pengorbanan yang dicurahkan itu akan menjadi tauladan baik buat semua rakyat Malaysia yang tidak ternilai harganya.” — DayakDaily