James Masing kecewa KLCC halau penari menggunakan pakaian Dayak

KUCHING – Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Dr. James Masing telah melahirkan kekecewaan beliau terhadap wujudnya laporan yang menyatakan bahawa pihak KLCC telah bertindak menghalau penari, yang kebanyakannya orang Sarawak yang menggunakan pakaian traditional Dayak, dari pusat membeli belah tersebut.

Menurut akhbar New Sarawak Tribune, insiden tersebut di sebarkan oleh seoarang pengguna Facebook dengan nama Abam Supir, yang mana beliau menyatakan bahawa penari-penari tersebut telah singgah di Taman KLCC untuk mengambil gambar selepas satu pertandingan tarian kebudayaan di Angkasapuri.

Menurut Abam Supir, tindakan mereka walaubagaimanapun dihalang oleh pihak pengurusan KLCC yang meminta penari-penari tersebut menukar pakaian mereka. Abam Supir turut mendedahkan bahawa kumpulan penari tersebut turut dihalau dari pusat membeli belah KLCC atas sebab sama.

Dalam pada itu, Masing dilaporkan berkata jika laporan tersebut adalah benar, beliau amat kecewa dengan tindakan Petronas yang tidak sensitif terhadap kepelbagaian jenis pakaian traditional dan kepercayaan masyarakat majmuk Malaysia.

Semakan DayakDaily ke atas laman Facebook pengguna bernama Abam Supir walaubagiamanpun mendedahkan bahawa status berkenaan isu ini telah dipadamkan dengan Abam Supir mendedahkan bahawa “Tuan punya badan tidak mahu memanjangkan cerita“.