Jalan Ngemah-Temalat dibuka secara berjadual-JKR

The completed section of the Nanga Ngungun-Temalat Road.

KUCHING, 6 Okt: Jalan Ngemah-Temalat yang menghubungkan laluan utama Jalan Sibu-Kapit akan dibuka secara berjadual untuk kegunaan orang ramai.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak berkata, hanya satu laluan sahaja dapat digunakan di sepanjang laluan projek pembinaan jalan tersebut ketika ini yang dijangka akan siap sepenuhnya pada 1 Disember 2020.

“Projek Jalan Ngemah-Temalat kini dalam fasa akhir pembinaan iaitu telah 88 peratus siap dengan tiga lokasi yang belum siap sepenuhnya dan hanya satu laluan sehala sahaja dapat digunakan,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.


Katanya, laluan itu akan dibuka setiap hari bagi kegunaan orang ramai secara berjadual setiap hari bermula 8 Oktober ini.

“Laluan tersebut akan dibuka mengikut ketetapan berikut iaitu pada sebelah Pagi daripada jam 6:30 hingga 8:00 pagi, pada sebelah tengahari daripada jam 12:00 tengahari hingga 1:30 petang dan pada sebelah petangnya pula bermula daripada jam 6:00 petang hingga 9:00 malam.”

JKR dalam pada itu turut menasihati orang ramai untuk sentiasa merancang perjalanan mereka dan mematuhi jadual tersebut bagi memastikan kelancaran projek pembinaan jalan terbabit serta keselamatan pengguna yang menggunakan laluan itu. — DayakDaily