Jalan hubungkan Sri Aman ke Engkilili melalui Jalan Brayun dalam perancangan, kata Harden

Harden (empat dari kanan) menyaksikan penyerahan alat pemadam api oleh pegawai Bomba kepada wakil Rh Panjang Nanga San.

KUCHING, 26 Okt: Kerajaan merancang membina satu rangkaian jalan menghubungkan Sri Aman ke Engkilili melalui Jalan Brayun pada masa akan datang, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis.

Menurut satu kenyataan media, ketika berucap di perasmian Program Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) bersama Komuniti di Rh Panjang Nanga San pada Sabtu (24 Okt) lepas, Harden memaklumkan bahawa rangkaian jalan itu nanti akan dilaksanakan melalui dua fasa.

“Pembinaan jalan akses ke kampung telah dibuat menggunakan geran program transformasi luar bandar (RTP) berjumlah RM700,000.

“Manakala sebuah jambatan konkrit telah dibina dengan kos RM10 juta di hujung Jalan Brayun menyeberangi Sungai Undop.

“Perancangan masa hadapan ialah berkenaan rangkaian jalan menghubungkan Sri Aman ke Engkilili melalui Jalan Brayun yang akan dilaksanakan dalam dua fasa,” kata Harden yang juga Adun Simanggang .

Pada majlis tersebut, Harden turut meluluskan cadangan projek membaikpulih atap rumah panjang dengan kos RM50,000 dan pembinaan gelanggang futsal dengan kos RM250,000 melalui geran RTP.

Beliau juga meluluskan peruntukkan melalui projek kecil luar bandar (MRP) berjumlah RM5,000 kepada Biro Wanita Nanga San.

Diselitkan juga penyerahan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada penerima dari rumah panjang berdekatan dan penyerahan alat pemadam api sebanyak lima unit kepada rumah panjang Nanga San yang disumbangkan oleh MDSA.

Di antara pengisian program ialah ceramah dari rakan strategik Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (Bomba), penerangan berhubung KGC, bantuan pesakit buah pinggang dan bantuan ibu bersalin oleh pegawai dari Jabatan Kebajikan. — DayakDaily