Oleh Chris Bishop
GEDONG, 21 Jan: Kerajaan Sarawak kini membina dua jalan baharu bagi menghubungkan Gedong ke Serian dan Gedong ke Samarahan.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, jalan Gedong ke Serian merupakan jalan sehala dua lorong sepanjang 19 km.
“Manakala kedua ialah jalan sehala dua lorong dari Gedong ke Samarahan sepanjang 74 km.
“Dan jalan ini dijangka akan dibangunkan dalam masa 48 bulan, ia akan siap dalam masa 4 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selesai lawatan ke tapak projek di Jalan Lubok Teranggas ke Kampung Gedong dan tapak projek Mini Isthmus Gedong.
Terdahulu Abang Johari diberi taklimat berkaitan projek pembangunan di kawasan Gedong oleh wakil dari pelbagai agensi di Rumah Rehat Sri Gedong.
Dalam pada itu tambah beliau, Kerajaan juga akan membina jalan bagi menghubungkan Ulu Simunjan ke Gedong mulai tahun ini.
Katanya, ia dihubungkan menerusi Jalan Gedong-Samalatong dimana projek memakan masa selama 3 tahun.
“Ini adalah satu proses pembangunan untuk kita membangunkan Gedong dan Samarahan dan juga Simunjan.
“Pembinaan jalan penghubung ini juga memberi laluan kepada pembangunan Komersial, bangunan kerajaan dan juga hotel,” ujar Abang Johari — DayakDaily