Oleh Chris Bishop
KOTA SAMARAHAN, 26 Nov: Jadikan Pusat Penjaja Tambirat sebagai kawasan tarikan pengunjung utama di kawasan Samarahan, kata Menteri Belia, Sukan Dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Katanya, pusat tersebut yang kini sudah beroperasi dibina dengan kos RM7 juta adalah nadi kepada pembangunan usahawan.
“Pusat penjaja ini adalah satu daripada program pembangunan, selain usaha kita meningkatkan ekonomi masyarakat setempat.
“Ia bukan sahaja untuk masyarakat di Kampung Tambirat, tetapi juga untuk masyarakat di sekitar Asajaya,” kata Abdul Karim.
Beliau berkata demikian di Penutupan Program Aspirasi Serumpun Seni Budaya Melayu di Pusat Penjaja Tambirat di sini, hari ini.
Tambah beliau yang Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni serta Adun Asajaya, pelbagai program khususnya di hujung minggu boleh diatur di Pusat Penjaja Tambirat.
Katanya ia bertujuan untuk menarik pengunjung dari sekitar Kuching dimana tempoh perjalanan kini hanya memakan masa kurang 30 minit.
Justeru katanya, para peniaga haruslah memastikan produk-produk yang dijual memenuhi kehendak pengunjung.
Sementara itu Abdul Karim mengingatkan para peniaga untuk memastikan gerai mereka sentiasa dibuka agar pusat tersebut kekal beroperasi.
“Saya telah memberitahu Majlis Perbandaran Kota Samarahan untuk memastikan setiap gerai sentiasa dibuka.
“Jangan satu hari buka, satu hari tutup. Jika tutup sehingga seminggu, tarik balik lesen kerana ramai lagi usahawan yang memohon lesen ini,” ujar Abdul Karim. — DayakDaily