Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak cekup 4 individu, rampas dadah bernilai RM229,410

Gambar komposit menunjukkan dadah yang dirampas daripada empat suspek.

Oleh Dean Adam

SIBU, Julai 14: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak berjaya menahan masing-masing dua lelaki dan wanita selepas mereka disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah menerusi satu serbuan di sebuah rumah di Lorong Wong Ping Huo, semalam.

Ketuanya, Supt Sahar Abdul Latif berkata, keempat suspek termasuk seorang wanita warga China yang berusia antara 25 hingga 26 tahun itu dicekup pada pukul 11.45 pagi.


Jelasnya, semasa serbuan itu, seorang suspek lelaki telah didapati melarikan diri dengan terjun melalui beranda ke tingkat bawah, namun berjaya ditahan oleh pasukan serbuan.

Katanya, manakala tiga lagi suspek lain ditahan di ruang makan rumah tersebut. Kesemua mereka adalah penganggur.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, pasukan polis menjumpai dadah jenis syabu seberat 547gram yang dianggarkan bernilai RM98,460.

“Pasukan serbuan juga menemui Erimin 5 seberat 899 gram (300 papan) dianggarkan bernilai RM45,000, ketamin seberat 543 gram (RM81,450) dan 75 biji pil Ekstasi bernilai M4,500,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut, Sahar memberitahu, anggaran nilai rampasan keseluruhan dadah itu adalah sebanyak RM229,410.

Selain itu katanya, pasukan serbuan juga menyita sebuah Toyota Wish, kereta Honda Civic, seutas rantai dan gelang emas yang dianggarkan bernilai RM78,690.

“Semua suspek kini dalam proses permohonan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Jika disabitkan kesalahan, keempat-empat suspek boleh dijatuhkan hukuman mati,” katanya. — DayakDaily