Isu makmal sains sekolah tidak lengkap, Kementerian Pendidikan ambil perhatian

Lim ketika ditemui di Kuching.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 27 Sept: Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying akan berbincang dengan Menteri Pendidikan berhubung gesaan Sarawak agar kerajaan pusat membina makmal sains di sekolah-sekolah di Negeri ini.

Ketika ditemui di Kuching hari ini, Lim turut mengalu-alukan usaha Kerajaan Sarawak yang mengambil langkah awal mewujudkan makmal sains bagi kemudahan pelajar.


“Kementerian pada masa ini ada kekangan dan kita mengalu-alukan udah kerajaan Sarawak yang membantu dari sudut pendidikan.

“Perinciannya kita akan bincangkan, dan saya juga akan bertemu dengan Menteri Pendidikan pada Jumaat (29 Sept) ini bagi membincangkan perkara ini,” kata Lim.

Dalam pada itu, Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada Ahad (24 Sept) mengumumkan bahawa Kerajaan Sarawak akan membina makmal di setiap Daerah.

Kata Abang Johari, ia bagi memperkukuh pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kalangan anak muda di Negeri ini.

Keputusan untuk membina makmal itu dibuat setelah mengambil kira keadaan makmal di sekolah-sekolah yang kurang lengkap setelah kerajaan pusat gagal bertindak.

“Saya dapati sekolah di Sarawak kini tidak mempunyai makmal lengkap melainkan Sekolah Sains. Makmal sangat penting terutamanya untuk pembelajaran biologi, kimia dan fizik.

“Makmal yang lengkap penting kerana pembelajaran melalui buku sahaja berbeza dengan secara praktikal,” katanya semasa berucap pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Kuching pada Ahad. — DayakDaily