Isteri maut, suami selamat dalam kemalangan

Lokasi kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori.

SIBU, Okt 6: Seorang isteri maut, manakala si suami pula terselamat selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah lori di Jalan Salim di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.15 pagi itu, mangsa yang berusia 59 tahun disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu, berkata suami mangsa yang berusia 69 tahun pula hanya mengalami kecederaan ringan.


Katanya, siasatan awal mendapati motosikal Honda C70 yang ditunggang si suami dikatakan sedang dalam perjalanan dari arah Jalan Salim ke Ulu Lanang di sini.

Kelihatan motosikal yang ditunggang mangsa.

“Namun, apabila tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang pasangan suami isteri terbabit telah bertembung dengan sebuah lori.

“Impak kemalangan itu menyebabkan mangsa tercampak dari motosikal dan mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya di sini hari ini.

Alexson menambah, pemandu lori tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, polis sudah mengambil keterangan daripada pemandu lori berkenaan untuk membantu siasatan.

“Kes ini disiasat mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. — DayakDaily