Istana Negara sahkan majlis menghadap Anwar ditangguh

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah and Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar.

KUCHING, 23 SEPTEMBER: Istana Negara mengesahkan bahawa majlis menghadap Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang dijadualkan berlangsung semalam telah ditangguhkan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, majlis itu ditangguhkan ekoran kegeringan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Ketika ini, Yang di-Pertuan Agong akan terus menjalani rawatan di bawah pengawasan para pakar perubatan di Institut Jantung Negara.


“Seri Paduka Baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tun Daim Zainuddin, para jemaah Menteri Kabinet dan individu-individu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim yang telah mendoakan kesejahteraan Seri Paduka Baginda,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Tambah Ahmad Fadil, Yang di-Pertuan Agong turut mengambil kesempatan menasihati seluruh rakyat untuk bertenang dan menjaga kesihatan diri masing-masing dengan mematuhi prosedur operasi standard kerana negara masih menghadapi ancaman penularan wabak Covid-19.

“Yang di-Pertuan Agong bertitah kepada semua pihak untuk mengutamakan kesejahteraan rakyat dan negara yang kita cintai bersama semoga kita dikurniakan keberkatan daripada Allah SWT,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong turut mengajak seluruh rakyat untuk bersama Tuanku berdoa semoga Malaysia terus dilindungi dari segala bentuk ancaman dan dikurniakan kemakmuran yang berpanjangan.-DayakDaily