Ismail Sabri : Tumpuan lebih kepada Sabah untuk kekang penularan Covid-19

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Oleh Cornelius Kadir Edison

PUTRAJAYA, 17 Okt.: Tumpuan lebih diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada Sabah dalam usaha untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di negara ini.

Ia susulan situasi semasa Penularan Covid-19 di negeri itu melibatkan peningkatan yang agak tinggi berbanding dengan negeri lain.


Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata demografi Sabah yang luas serta jumlah penduduk yang ramai memerlukan kerajaan memberi fokus yang khusus kepada negeri tersebut.

“Pelbagai bantuan telah dihulurkan oleh kerajaan termasuk bantuan kewangan, meningkatkan keperluan kesihatan dan mewujudkan Hospital Medan  Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta menambah kekuatan anggota dan aset keselamatan bagi kawalan keselamatan di sempadan serta menambah jumlah sekatan jalan raya di negeri itu,”katanya

Bercakap semasa sidang media harian Covid-19 (Keselamatan) secara lansung dari Kediamannya, Ismail Sabri berkata semua tindakan tersebut merupakan usaha kerajaan untuk menyekat dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19 sekali gus memastikan keselamatan rakyat di negara ini terjamin.

Katanya, perhatian khusus juga diberikan kepada Sarawak memandang negeri tersebut mempunyai sempadan perairan yang panjang.

Keadaan itu tegasnya memerlukan kawalan pertahanan dan keselamatan yang tinggi  untuk mengelakkan sempadan perairan negeri terbabit daripada sebarang pencerobohan.

“Walaubagaimanapun, kawalan oleh anggota keselamatan sahaja tidak memadai tanpa peranan daripada masyarakat setempat untuk turut sama-sama membantu bagi memastikan negara kita selamat,” katanya.

Kata Ismail Sabri, Ops Benteng yang dilaksanakan semalam berjaya menahan  58 Pendatang asing tanpa Izin (PATI)berjaya merampas  masing-masing dua buah bot dan kenderaan darat.

“Daripada jumlah itu, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 33 PATI di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

“ Sebanyak 265 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng juga dilakukan di seluruh negara yang mana 191 dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM ), ATM (65) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (9),” katanya. -DayakDaily