Oleh Chris Bishop
KUCHING, Mac 24: Pihak polis dan tentera akan dikerah kawal keadaan di bank dan mesin ATM untuk pastikan penjarakan sosial dipatuhi, tegas Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri.
Menurut beliau, tindakan tersebut perlu diambil disebabkan di dalam tempoh beberapa hari lagi pekerja-pekerja akan menerima gaji masing-masing.
“Dalam beberapa hari lagi, gaji akan dibayar oleh majikan. Kita jangka akan berlaku kesesakan di dalam bank dan di mesin ATM.
“Maka, kita seru rakyat agar tidak berpusu-pusu di bank atau di mesin ATM,” katanya pada sidang media Covid-19 di Putrajaya hari ini.
Tambah Ismail, bantuan dari polis atau polis bantuan bank diperlukan untuk memastikan amalan penjarakan sosial satu meter tersebut dipatuhi.
“Mungkin pihak pengurusan bank boleh menentukan jumlah pelanggan yang sesuai berada di dalam bank dalam satu satu masa,” katanya.
Berhubung isu lain, Ismail menggesa golongan yang masih degil yang gemar berkongsi berita palsu Covid-19 di media sosial agar segera berhenti.
Katanya, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang didapati menyebarkan berita palsu.
“Setakat ini, sebanyak 85 kes berita palsu sedang disiasat dan ada juga kes telah dituduh di mahkamah,” tegas Ismail. — DayakDaily