Iskandar angkat sumpah Adun Jepak di Persidangan DUN

Iskandar mengangkat sumpah jawatan Adun Jepak di Kompleks DUN.

KUCHING, 10 Nov: Iskandar Turkee, 54, yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak pada 4 November lepas mengangkat sumpah jawatan hari ini.

Beliau mengangkat sumpah di hadapan Speaker DUN, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar pada Mesyuarat Kedua bagi Penggal Kedua DUN Sarawak ke-19 yang bermula hari ini di Bangunan DUN Sarawak di sini.

Pada PRK itu, Iskandar yang mewakili Gabungan Parti Sarawak (GPS) memperoleh 9,638 undi.


Iskandar menewaskan dua pencabar, Stevenson Joseph Sumbang daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) yang meraih 854 undi dan Chieng Lea Phing dengan 431 undi.

Kerusi DUN Jepak diisytiharkan kosong berikutan kematian penyandangnya, Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lalu. — DayakDaily