‘Irrawady Dolphin’ boleh ditemui Taman Negara Wetlands Kuching

Ikan lumba-lumba ‘Irrawady Dolphin’ atau empesut.

KUCHING, 14 Feb: Spesis ikan lumba-lumba yang dikenali sebagai ‘Irrawady Dolphin’ atau empesut boleh ditemui di Taman Negara Wetlands Kuching.

Sarawak Forestry Corporation (SFC) menerusi hantaran di laman Facebook rasminya berkata, ‘Irrawady Dolphin’ merupakan salah satu spesis ikan lumba-lumba yang dapat dijumpai di Sarawak.

Populasi terbesar ikan ini di Sarawak boleh dijumpai di Delta Rajang dan ia memiliki sifat mencari makanan secara berkumpulan.


Juga dikenali dengan nama saintifik Orcaella Brevirostris, ia adalah spesis ikan terancam dan disenaraikan sebagai haiwan terlindung sepenuhnya di bawah Wild Life Protection Ordinance 1998.

Selain mempunyai paruh dan kepala seperti kebanyakan spesies ikan lumba-lumba, ia juga memiliki muncung yang tumpul dan dahi yang tinggi.

Empesut juga boleh dijumpai di Teluk Bengal, Papua New Guinea dan Filipina serta sungai-sungai di sekitarnya. — DayakDaily