IPD Padawan turun padang untuk tingkatkan kesedaran awam mengenai kes jenayah

DSP Merbin Lisa (tiga dari kiri) menyerahkan risalah pencegahan jenayah kepada peniaga di pasar tamu Siburan ketika mengetuai rombongan program "walkabout" ke pasar itu.

PADAWAN, Nov 1: Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah mengadakan program turun padang “walkabout” bagi menasihatkan orang ramai mengenai kes jenayah termasuk penipuan ‘Macau scam’ dan ‘love scam’ di pasar tamu Siburan, di sini, pagi ini.

Program terbabit yang bermula jam 10.30 hingga 11.30 pagi telah diketuai Timbalan Ketua Polis Padawan, DSP Merbin Lisa dan disertai seramai enam pegawai kanan polis, 15 pegawai rendah polis, warga IPD Padawan serta ahli Skuad Aman Wanita (Amanita).

Rombongan terbabit bersalaman dan beramah mesra dengan sekitar 100 peniaga dan pengunjung ke Pasar Tamu Siburan itu yang ada sebanyak 30 gerai.


“DSP Merbin Lisa turut memberi nasihat dan penerangan ringkas berhubung kes-kes (jenayah penipuan) seperti ‘Macau scam’ dan ‘love scam’ yang semakin berleluasa pada ketika ini,” menurut kenyataan media IPD Padawan.

Disamping itu, risalah pencegahan jenayah komersil, jenayah dan dadah dan menggalakan penyaluran maklumat awam bagi tujuan pencegahan jenayah secara kolektif antara PDRM dan masyarakat umum juga telah diedarkan kepada peniaga dan pengunjung pasar tamu terbabit.

Modus operandi penjenayah ‘Macau scam’ adalah memaklumkan kepada mangsa melalui panggilan telefon bahawa akaun mereka mempunyai masalah sebelum mangsa diminta untuk memindahkan wang dari dalam akaun ke akaun lain.

Modus operandi penjenayah ‘love scam’ pula akan berkenalan dengan mangsa di laman sosial dan kemudian meminta nombor telefon bagi berhubung melalui aplikasi WhatsApp dan setelah menjalinkan hubungan romantik, penjenayah akan meminta wang dengan memberi pelbagai alasan. — DayakDaily