IPD Kuching tangkap 3 individu edar kad pemberi pinjaman wang tanpa lesen

Merbin menunjukkan banting-banting yang telah diturunkan di sekitar Bandaraya Kuching.

KUCHING, 1 JULAI: Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching sehingga semalam telah menangkap 3 orang warga tempatan berumur 25, 26 dan 35 tahun kerana kesalahan membantu pemberi pinjam wang tidak berlesen.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuching Supt Merbin Lisa, mereka terlibat di dalam aktiviti mengedar kad pemberi pinjam wang tanpa lesen.

Tangkapan dibuat menerusi Op Vulture yang bermula dari 1 Jun 2020 sehingga 30 Jun 2020.


“Kesemua mereka ini telah dituduh di Mahkamah Kuching pada 26 Jun lepas dibawah Seksyen 29AA, Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1954,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dalam tempoh itu juga tambah Merbin, IPD Kuching telah berjaya menurunkan sebanyak 225 banting pinjaman wang tanpa lesen pelbagai saiz dan ukuran.

Manakala, sebanyak 25 laporan polis telah dibuat berhubung dengan penurunan banting ini yang telah dijalankan disekitar Bandaraya Kuching.

Katanya, Seksyen 29AA, Akta Pemberi Pinjam Wang Tanpa Lesen 1954 memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.—DayakDaily