IPD Kuching dan Sarawak Energy serbu ‘lombong bitcoin’ di Kuching

Ahsmon bersama pasukan serbuan memeriksa penyambungan elektrik secara haram yang telah dibuat di dalam premis tersebut.
Advertisement

KUCHING, 26 Julai: Sebuah gudang yang dijadikan pusat melombong bitcoin di Demak Laut di sini diserbu anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching bersama Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata serbuan adalah hasil daripada maklumat awam sehingga operasi dilancarkan dengan diketuai Ketua Balai Polis Gita ASP Mohamad Nizam.

Jelasnya, hasil siasatan mendapati premis tersebut telah beroperasi sejak 87 hari lepas secara haram dengan mencuri bekalan elektrik.

Advertisement

“Sejak mula beroperasi iaitu 87 hari lepas, pihak Sarawak Energy mendapati sebanyak RM110,000 kerugian direkodkan hasil daripada sambungan haram bekalan elektrik,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dedahnya juga, terdapat sebanyak 170 mesin melombong bitcoin ditemui di dalam premis tersebut yang beroperasi 24 jam setiap hari.

“Semua mesin tersebut menggunakan bekalan elektrik yang tinggi, malah kipas-kipas yang dipasang juga adalah yang berkuasa tinggi juga.

“Kita juga risau ia akan membahayakan keadaan di sekitar ini kerana penyambungan elektrik haram tersebut dikhuatiri boleh menyebabkan berlaku perkara tidak diingini.

Justeru, IPD Kuching akan terus bersama dengan Sarawak Energy untuk banteras kegiatan seumpama ini pada masa-masa akan datang.

“Kita akan teruskan untuk memburu mereka yang terlibat dalam kegiatan melombong bitcoin yang menyebabkan kerugian sumber elektrik kepada negeri ini,” katanya.

Tambahnya, seorang lelaki warganegara Indonesia berusia 30 tahun dipercayai penjaga premis ditangkap dalam operasi tersebut untuk membantu siasatan.

“Kita difahamkan dua lagi suspek berjaya melarikan diri sebaik sahaja menyedari kehadiran polis dan kini usaha menjejaki mereka serta pemilik premis sedang giat dijalankan,” katanya.

Suspek dan rampasan kemudian dibawa ke IPD Kuching untuk tindakan selanjutnya. — DayakDaily

Advertisement