IPD Kuching buru 39 individu, dua daripadanya suspek kes bunuh

Ahsmon ketika bercakap dalam sidang media hari ini.

KUCHING, 7 April: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching memburu 39 individu, termasuk dua suspek kes bunuh.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata kesemua suspek terbabit terdiri daripada 36 lelaki dan dua wanita warga tempatan serta seorang wanita warga Indonesia.

Katanya, suspek-suspek terbabit adalah dari senarai orang dikehendaki sejak tahun 2000 untuk menyelesaikan kes-kes yang masih dalam siasatan.


“Kesemua 39 orang yang dikehendaki terbabit terlibat pelbagai kesalahan jenayah, antaranya lapan adalah jenayah berat, 11 jenayah harta benda dan 20 lagi melakukan lain-lain jenayah.

“Daripada itu juga, dua individu mempunyai rekod terlibat dalam kes bunuh yang berlaku sekitar tahun 2011,ā€ katanya pada sidang media hari ini.

Justeru, beliau memohon kerjasama orang awam untuk berkongsi maklumat agar semua individu tersebut dapat dikesan bagi menyelesaikan siasatan kes.

Jelasnya, maklumat boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah DSP Mohd Hafizi Ishak pada talian 017-2336343 atau Pegawai Operasi ASP Baharudin Sabang di talian 013-5654600.ā€” DayakDaily