Insentif buat Bonnie dibincang dengan Premier Sarawak, tapi tunggu Kerajaan Pusat dahulu – Fatimah

Fatimah bersama yang lain menyambut ketibaan Bonnie di KIA.
Advertisement

KUCHING, 14 Sept: Insentif bagi pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Paris 2024 Bonnie Bunyau Gustin akan dibincangkan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, Sarawak terlebih dahulu perlu menunggu jumlah insentif yang diberikan oleh Kerajaan Pusat.

“Kita kena bincangkan dengan Premier dahulu, tapi sebelum itu kita tunggu jumlah pemberian insentif daripada Kerajaan Pusat.

Advertisement

“Seperti insentif di kejohanan dunia 2021 lepas, Kerajaan Pusat beri RM1 juta, dan Kerajaan Negeri beri separuh,” kata Fatimah.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA), menyambut ketibaan Bonnie dari Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Fatimah berkata kejayaan Bonnie itu bukan sahaja telah mengharumkan nama Malaysia, tetapi sekaligus menaikan nama Sarawak.

“Ini anak Sarawak dan dari sukan power lifting beliau dapat menempatkan nama Malaysia dan Sarawak di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan calang-calang pencapaian,” tegas Fatimah.

Pada Sukan Paralimpik Paris 2024, Bonnie memenangi pingat emas power lifting bagi kategori 72 kilogram.

Beliau juga berjaya mencatatkan rekod dunia baharu dengan angkatan seberat 232 kg. ā€” DayakDaily

Advertisement