Inovasi JTS rangkul pingat emas, perak pada Malaysia Technology Expo 2021

Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Lands Tahai-Q, Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Limbang

KUCHING, 26 Mac: Projek Rural Transformation Project (RTP) Smart yang dibangunakan Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Lands Tahai-Q, Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Limbang berjaya merangkul pingat emas Malaysia Technology Expo (MTE) 2021 dalam kategori Public Service Innovation Award (PSIA) baru baru ini.

Selain memenangi pingat emas inovasi tersebut, JTS turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila menerima Anugerah Khas Japan Intellectual Property Association (JIPA).

“Penyertaan kali kedua kumpulan Lands Tahai-Q pada MTE 2021 kali ini menyamai kecemerlangan pencapaian kumpulan ini pada tahun 2020 melalui projek Power4Fields –Portable Power Supply apabila memenangi pingat emas pada kategori PSIA dan juga penerima anugerah khas daripada International Federation of Inventor’s Association (IFIA),” kata JTS dalam satu kenyataan.


Katanya, Projek RTP Smart yang dipertandingkan itu adalah merupakan inovasi sistem yang mampu meningkatkan kecekapan proses pertapakan projek-projek pembangunan di bawah kerajaan Sarawak yang memberikan manfaat kepada rakyat.

Tambah kenyataan itu, satu lagi projek inovasi JTS iaitu Innovation Umbrella On-Site (INUOS) yang direka Kumpulan Innotech Q9, JTS Bintulu turut berjaya memenangi pingat perak.

Katanya,  INUOS yang dipertandingkan itu direka dengan tujuan  untuk meningkatkan kualiti pengukuran di lapangan dengan melindungi Total Station atau peralatan ukur dari haba panas.

Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Innotech Q9, Jabatan Tanah Dan Survei (JTS) Bintulu

Kata kenyataan itu, pengumuman keputusan tersebut diadakan secara maya menerusi platform laman web rasmi MTE 2021 bersama Presiden Malaysian Association of Creativity and Innovation (MACRI) Hussein Mohd Ariff yang juga Pengerusi Jawatankuasa PSIA.

“Tahun ini merupakan tahun ketiga penyertaan JTS pada MTE sejak tahun 2019. Sejak penyertaan pertama JTS melalui inovasi Sarapeg, JTS sentiasa mempamerkan pencapaian yang cemerlang dengan memenangi pingat emas bagi setiap projek yang dipamerkan pada MTE.

“Pada tahun 2020, ketiga-tiga projek inovasi yang diketengahkan, iaitu Power4Fields – Portable Power Supply, Mobile Land and Survey Information System (LASIS) dan Sarawak Virtual 3D City telah memenangi Pingat Emas PSIA disamping pengiktirafan anugerah khas dari pelbagai institusi inovasi dan kreativiti peringkat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Penganjuran MTE kali ke-20 ini dilaksanakan secara vitual melibatkan 476 inovasi dari lebih 250 penyertaan yang terdiri daripada organisasi perkhidmatan awam, syarikat pengeluaran dan firma teknologi, institusi pengajian tinggi, penyelidik dan peringkat sekolah melibatkan penyertaan dari Taiwan, Hong Kong, Filipina, Turki, Lebanon, Iran dan Vietnam.

Seramai lebih 200 pengunjung direkodkan menghadiri pameran virtual JTS MTE 2021 sejak 22 Mac hingga 24 Mac, 2021 manakala pameran virtual melalui laman web MTE 2021 akan  berlangsung sehingga hari ini (26 Mac). — DayakDaily