Industri baharu wujudkan pelbagai pekerjaan di Sarawak — Snowdan

Snowdan (lapan dari kanan) melawat pusat latihan syarikat Hi Rope Sdn Bhd di Senadin, Miri.

KUCHING, 11 Dis: Kerajaan berusaha membawa balik anak-anak Sarawak yang bekerja di luar Negeri yang memiliki kepakaran untuk bersama-sama menyumbang dalam pembangunan Sarawak.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Snowdan Lawan berkata, kepakaran mereka diperlukan seiring dengan usaha menjadikan Sarawak Negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

“Di Sarawak ada banyak peluang dan kerajaan pada masa ini mewujudkan pelbagai pekerjaan dari industri baharu.


“Ia melibatkan industri berteraskan tenaga hijau, karbon dan tenaga mampan,” katanya dalam ucapan di Majlis Makan Malam Ulang Tahun Ke-10 Hi Rope Engineering Sdn Bhd di Miri baru-baru ini.

Dalam pada itu, Snowdan berbangga dengan kemampuan anak-anak Sarawak khususnya Dayak yang memiliki kepakaran dan pengikitrafan dalam bidang minyak dan gas.

Beliau yakin mereka ini telah bekerja keras dengan penuh komitmen dan disiplin sehingga mencapai kejayaan.

“Saya yakin usahawan Dayak yang menceburi dan berjaya dalam bidang ini memiliki ceritanya sendiri.

“Kejayaan mereka ini boleh menjadi contoh kepada usahawan lain,” kata Snowdan.

Hadir sama Adun Pelagus Wilson Nyabong dan Ketua Pegawai Eksekutif Hi Rope Sdn Bhd Kesong Mopeng. — DayakDaily