Individu kuarantin rumah layak terima bantuan makanan mulai 24 Mei

Fatimah (berdiri tengah) pada sidang media di Pusat Sehenti Covid-19 di Dewan Masyarakat di Kuching.

KUCHING, 22 Mei: Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersetuju bantuan bekalan makanan dipanjangkan kepada golongan individu yang mendapat perintah kuarantin rumah daripada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mulai 24 Mei ini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, kadar bantuan yang telah diputuskan adalah bernilai RM50 seorang untuk tempoh selama 14 hari maksima.

“Individu yang telah mendapat perintah kuarantin rumah dan telah memakai “white wristband” daripada KKM adalah layak untuk menerima bantuan bekalan makanan,” katanya pada sidang media di Pusat Sehenti Covid-19 di Dewan Masyarakat Kuching di sini, hari ini.


Tambah Fatimah, bantuan bekalan tersebut adalah berupa makanan kering iaitu beras (5kg), gula, biskut kering, mee segera, kopi dan teh, makanan dalam tin, garam, telur dan minyak masak.

Namun katanya, bantuan ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang berumur 4 tahun ke bawah.

Jelas Fatimah, bantuan bagi kanak-kanak termasuk orang kurang upaya (OKU) adalah berdasarkan keperluan dimana kerajaan akan memberi susu bayi atau milo, biskut kering dan lampin pakai buang.

Dalam pada itu, beliau turut berkata bahawa individu yang masih menjalani perintah kuarantin rumah juga layak diberikan bantuan makanan.

Terdahulu kerajaan telah menyalurkan bantuan makanan dengan kadar yang sama kepada mereka yang menjalani kuarantin di pusat kuarantin, petugas di sekatan jalan raya, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Risiko Rendah(PKRC) dan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD). — DayakDaily