Ilmu kebombaan dimanfaatkan, dua rumah panjang dan satu kedai berjaya diselamatkan

Hero Bomba di Saratok dihargai.
Advertisement

SRI AMAN, 25 Feb: Program kebombaan terutamanya berkaitan cara memadam kebakaran dimanfaatkan sebaiknya oleh tujuh ‘hero bomba’ yang berjaya menyelamatkan sebuah rumah kedai dan dua rumah panjang di Sri Aman, Betong dan Saratok daripada terbakar sejak Januari lalu.

‘Hero Bomba’ yang dimaksudkan adalah orang awam, terdiri daripada penduduk rumah panjang itu sendiri iaitu Jutie Salang, 29, Mathew Libau Alin, 27, Bayang Not, 42 di Saratok, Welfrwd Tura, 53 serta Micheal Jone Simion, 65 di Betong dan Muhammad Irsan Manshorshah, 19 serta Alvinzeanno Alanzie, 19 dari Sri Aman.

Semasa ditemui pemberita, masing-masing mereka mengakui pernah mengikuti program yang dianjurkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenai cara mengendalikan alat pemadam api dan apa yang perlu dilakukan semasa berlakunya kebakaran.

Advertisement

“Sebelum ini JBPM ada datang ke rumah panjang, mengajar kami cara memadam api, memberi ceramah kepada penduduk rumah panjang

“Bagaimanapun, sekiranya berlaku kecemasan, kita sesama diri mesti bersatu dan saling bekerjasama memadam kebakaran,” kata Jutie kepada pemberita.

Sungguhpun begitu, keselamatan juga harus diutamakan.

“Sekiranya api tidak berjaya dipadamkan atau keadaan merbahaya, seelok-eloknya segera selamatkan diri dan minta bantuan dari Bomba,” kata Micheal.

Dalam tiga kebakaran tersebut, sebanyak RM6,315,199 nilai harta benda dapat diselamatkan atas keberanian kesemua ‘hero bomba’ terbabit.’

Dua rumah panjang yang dimaksudkan ialah Rumah Ben Bali, Tapang Ujan Ulu Ibus, Mudong (Saratok) serta Rumah Seruai di Kampung Baru Spaoh (Betong).

Manakala kedai pula ialah Kedai Family W di Pasar Baru Sri Aman.

Susulan itu, JBPM Sarawak hari ini telah menyampaikan perhargaan kepada ketujuh-tujuh hero terbabit dalam satu majlis di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah Bomba Sarawak Datu Khirudin Drahman yang turut menyerahkan Sijil Penghargaan kepada Pasukan KIK BBP Sri Aman (Benak Revolution).

Program tersebut dijalankan dari Jam 8.30 pagi hingga 12 tengah hari. — DayakDaily

Advertisement