KUCHING, 30 April: iCube Innovation Sdn Bhd (iCube) sebagai pusat inkubator usahawan muda di Sarawak berazam merealisasikan visi Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud, menjadikan Sarawak sebagai wilayah terkaya di Malaysia.
Pengerusi iCube Innovation Sdn Bhd Dato Patrick Liew berkata visi terbabit boleh direalisasikan pihaknya dengan membantu Sarawak melahirkan usahawan muda yang dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan seterusnya pendapatan rakyat.
“Adalah menjadi visi Tun (Taib) untuk melihat Sarawak menjadi negeri terkaya di Malaysia. Kami berharap dengan munculnya lebih ramai usahawan di Sarawak akan seterusnya meningkatkan pendapatan perkapita Sarawak sambil menyumbang kepada realisasi visi Tun itu,” katanya ketika perasmian “The Space” oleh Yang di-Pertua Negeri di iCube, iCom Square, Jalan Pending, di sini hari ini.
Liew berkata iCube, yang dilancarkan pada 2015, adalah pusat inkubator yang membantu perkembangan usahawan muda di Sarawak dan kini telah dihubungkan dengan sebanyak 106 lokasi dengan 81 ruang kerja sama sebagai pembina ekosistem global.
“Kepada ramai individu berbakat yang telah datang kepada kami dengan ilham dan aspirasi kreatif mereka, kami berharap kemudahan kami telah membantu kamu dengan baik. Adalah menjadi aspirasi kami melihat anak muda berjaya,” katanya.
Usahawan muda syarikat GetFood, XENSE dan i-fix adalah antara “keluarga besar” iCube yang telah berjaya hari ini, katanya.
“Dengan pelancaran The Space yang baru ini, yang kami namakan iCube 2.0, kami juga mengembalikan semula kesungguhan untuk menyokong usahawan tempatan,” katanya sambil menambah bahawa iCube 2.0 mempunyai persekitaran kerja yang mesra dan ada kemudahan perundingan, jaringan dan latihan. — DayakDaily