Ibu bapa diminta terus yakin hantar anak ke tadika, taska – Fatimah

Fatimah ketika melancarkan Sambutan Hari Kanak-kanak dan Hari Taska Sarawak 2020 di Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajjah Norkiah, Kuching.

KUCHING, 17 Okt: Ibu bapa di Sarawak diminta untuk terus memberikan kepercayaan kepada pengusaha tadika dan taska ketika menghantar anak mereka ke institusi pendidikan awal kanak-kanak terbabit.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, keputusan untuk membuka semula tadika dan taska di tengah-tengah Covid-19 dilakukan disebabkan terdapat keperluan untuk ibu bapa menghantar anak-anak ke institusi tersebut apabila mereka mula berkerja selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan digantikan dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Katanya, walaupun terdapat kekhuatiran di kalangan ibu bapa berkenaan keselamatan anak mereka pengusaha taska dan tadika terlibat memberi jaminan segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sedikit sebanyak membantu dalam menjaga keselamatan dan kesihatan kanak-kanak tatkala wabak Covid-19 masih menular.


“Sehingga kini hanya satu tadika sahaja yang terpaksa kita arahkan tutup sementara bukan kerana mereka tidak mematuhi SOP tetapi kerana bapa kepada seorang kanak-kanak di tadika tersebut didapati positif Covid-19.

“Kini, tadika tersebut telahpun dibuka semula selepas semua prosedur berkaitan seperti disinfeksi peralatan serta keseluruhan tadika berkenaan dilakukan dan ini menunjukkan bahawa pengusaha-pengusaha tadika dan taska ini amat prihatin akan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak dibawah jagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama yang erat antara ibu bapa, guru-guru, kanak-kanak terlibat dan pengusaha tadika dalam memastikan pematuhan SOP pasca Covid-19 maka ia membuatkan tiada keperluan untuk kerajaan mengarahkan mana-mana institusi pendidikan awal kanak-kanak terbabit ditutup.

Sementara itu, Fatimah berkata usaha untuk memperkasakan pembangunan kanak-kanak di Sarawak terus diperluaskan bukan sahaja kepada kanak-kanak normal tetapi  kepada kanak-kanak berkeperluan khas.

Katanya, penubuhan One Stop Early Intervention Centre (OSEIC) dan Sekolah Rendah Pendidikan Khas Sarawak jelas menunjukkan dasar inklusiviti kerajaan Sarawak dalam memberikan terhadap pendidikan dan pembangunan kanak-kanak di negeri ini.

“OSEIC  di Metro City, Matang yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 30 Oktober ini adalah bagi memberikan perkhidmatan diagnosis, rehabilitasi dan intervensi bagi kanak-kanak berkeperluan khas berumur tujuh tahun dan ke bawah.

“Untuk peringkat permulaan, focus adalah diberikan kepada kanak-kanak yang mengalami autism, down-syndrome dan masalah pembelajaran. Projek ini adalah di bawah projek CSR Petronas.

“Peruntukan awal sebanyak RM 4 juta adalah daripada Petronas dan untuk tahun berikutnya, peruntukan tahunan sebanyak RM2 juta akan diperuntukkan oleh Kerajaan Sarawak bagi pengoperasian OSEIC yang diurus oleh Pibakat,” katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Hari Kanak-kanak dan Hari Taska Sarawak 2020 di Rumah Kanak-kanak Toh Puan Hajjah Norkiah di sini hari ini.

Fatimah ketika sesi sidang video bersama penerima Anugerah Ketangkasan Kanak-Kanak 2020 , Marchisio Lias Tangom.

Pada majlis itu, Fatimah turut menyampaikan Anugerah Ketangkasan Kanak-Kanak 2020 kepada Marchisio Lias Tangom, 6, atas keberaniannya yang berjaya menyelamatkan 350 penghuni di rumah panjang RH Kampung Ensengei Iban, Sebuyau.

Dalam kejadian 4 Jun lalu, Marchisio bertindak menjerit ‘api’ apabila menyedari berlaku kebakaran di salah sebuah bilik di rumah panjang terbabit.

Tindakannya itu menyedarkan penghuni di rumah panjang terbabit lalu memadamkan kebakaran tersebut menggunakan satu-satu alat pemadam api yang terdapat di rumah panjang tersebut.

Marchisio menjadi wira di kampungnya apabila tindakannya itu bukan sahaja menyelamatkan rumah panjang tersebut daripada musnah terbakar bahkan mengelakkan kerugian yang lebih besar dihadapi oleh penduduk di situ.-DayakDaily