Hujan lebat berterusan akibatkan banjir di SK St Mark

Kelihatan air banjir di kawasan sekolah.

Oleh Dean Adam

SELANGAU, Feb 27: Hujan lebat yang berterusan telah mengakibatkan Sekolah Kebangsaan (SK) St Mark terjejas akibat banjir, hari ini.

Laporan mengenai banjir di sekolah itu diterima kira-kira pukul 7.30 pagi.


Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, berdasarkan maklumat diterima daripada guru besar, kawasan sekolah berkenaan dinaiki air sedalam kira-kira 0.9 meter.

Jelasnya, bagaimanapun tiada pemindahan dilakukan memandangkan air belum masuk ke dalam bilik kelas.

“Kejadian itu telah menjejaskan 57 orang murid, guru (14), staf sokongan (8), pengawal keselamatan (4) dan pekerja pembersihan (3).

“Laluan darat yang menuju ke sekolah berkenaan masih terputus ekoran banjir, namun terdapat laluan alternatif menggunakan perahu dari pekan Nanga Tajam ke Nanga Tamin,” katanya di sini hari ini.

JPBNS menambah, maklumat terkini mengenai insiden itu akan dikemaskini dari semasa ke semasa. — DayakDaily