Hujan lebat berterusan akibatkan banjir di rumah panjang Matek, Ulu Teru

Kelihatan banjir di kawasan rumah panjang Matek, Ulu Teru.

Oleh Dean Adam

MIRI, Jun 5: Seramai 103 orang penghuni yang mendiami 20 pintu rumah panjang Matek, Ulu Teru dekat sini terjejas akibat banjir.

Kejadian banjir itu disebabkan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lepas.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian banjir yang melanda kawasan rumah panjang itu daripada Tuai Rumah Dullah Tawas.

Katanya, berdasarkan laporan diterima, air banjir dikatakan naik sedalam 0.9 meter di kawasan rumah panjang berkenaan.

Kelihatan banjir di kawasan rumah panjang Matek, Ulu Teru.

“Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang penghuni rumah panjang yang dipindahkan.

“Keadaan semasa dilaporkan terkawal dan air banjir menunjukkan ‘trend’ menaik,” katanya di sini hari ini.

Jurucakap sama menambah, laluan ke rumah panjang berkenaan juga terjejas akibat dinaiki air banjir.

“Situasi terkini akan dilaporkan selepas mendapat maklumat lanjut.” — DayakDaily