Oleh Dean Adam
BINTULU, April 26: Hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam telah mengakibatkan kejadian banjir kilat di tiga lokasi di sini hari ini.
Kejadian banjir kilat itu menjejaskan kawasan Sungai Sebatang, Tanjung Kidurong dan kawasan Batu 8 1/2, Batu 9.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 4.09 pagi.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi menyelamat.
“Apabila tiba, pasukan bomba mendapati air banjir telah memasuki beberapa kediaman di situ. Pasukan bomba kemudian bertindak memindahkan mangsa untuk ke tempat yang lebih tinggi,” katanya di sini hari ini.
Jurucakap sama menambah, terdapat kira-kira 21 mangsa yang terjejas akibat banjir kilat itu.
“Maklumat tambahan akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. — DayakDaily